Saturday, November 8, 2014

Masalah Keguguran Rambut



Rambut adalah mahkota wanita. Rambut memainkan peranan penting dalam mencorak wajah seseorang. Dari segi kesihatan mahupun kecantikan rambut mampu mencerminkan keperibadian seseorang. Rambut yang cantik berkilau akan memukau pandangan mata sebaliknya rambut yang tidak terurus dan berserabut memberi pandangan negative kepada seseorang.
Sebaiknya sebelum membeli produk penjagaan rambut anda perlu memastikan jenis rambut anda terdahulu. Terdapat beberapa jenis rambut iaitu:

-Rambut berminyak
Rambut jenis ini mempunyai kelenjar minyak bekerja secara berlebihan sehingga kelihatan basah, melekit kerana berminyak yang banyak, mudah kotor dan membentuk rumpun rambut. Apabila menghias rambut, kebiasaannya ia tidak kekal lama kerana strukturnya cepat berubah.

-Rambut normal
Rambut jenis ini memiliki kelenjar minyak yang mengeluarkan mnyak yang mencukupi. Rambut jenis ini tidak akan cepat kotor dan mengembang. Rambut ini juga mudah dicuci.

-Rambut kering
Rambut jenis ini biasanya akan kelihatan mengembang, kering, rapuh, suram dan mudah rosak. Ini disebabkan kandungan minyak pada kelenjar lemak sangat sedikit dan kurang aktif. Rambut jenis ini mudah kusut, batang rambut akan rosak dan hujung rambut akan pecah apabila disikat. Ini juga biasa berlaku sekiranya diikat dengan kuat.

Masalah rambut nipis
Kitaran hidup sehelai rambut untuk tumbuh adalah selama lima hingga tujuh tahun. Setiap rambut tumbuh sekitar satu sentimeter sebulan. 90 peratus daripada rambut di kulit kepala akan tumbuh dalam satu-satu masa manakala 10 peratus daripadanya akan berada dalam fasa rehat selama tiga hingga empat bulan, di mana ia akan gugur dan rambut baru akan tumbuh di tempatnya.

Dewasa ini masalah rambut nipis dan botak menjadi fenomena serius di kalangan wanita tidak kira peringkat umurnya. Seseorang individu boleh mengalami masalah rambut gugur sehingga 7 ke 10 helai dalam satu-satu masa.

Jika rambut gugur sebanyak 100 helai setiap hari, ia masih lagi dianggap normal. Namun begitu, jika rambut gugur melebihi kiraan tersebut, ia menandakan berlakunya masalah yang lebih serius. Sekiranya masalah ini mendapat rawatan yang cepat ia boleh dipulihkan dengan segera namun pengabaian boleh menyebabkan ia terus kekal dan tidak tumbuh lagi.

Punca rambut terlebih gugur
1.      Mempunyai penyakit tertentu seperti diabetes, jangkitan kulit dan tiroid. Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau pasif juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

2.      Kekurangan zat makanan seperti zat besi yang tidak cukup dalam gizi makanan.

3.      Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu seperti ubat sakit sendi (artritis), depresi, masalah jantung, gout, tekanan darah tingi dan ubat mencairkan darah (coagulant). Pengambilan vitamin A secara berlebihan juga boleh menyebabkan berlakuknya keguguran rambut.

4.      Demam panas turut mengurangkan pertumbuhan rambut namun keadaan kembali normal dalam jangka masa empat bulan. Fenomena ini bersifat sementara.

5.      Bayi yang dalam proses membesar sering mengalami kehilangan rambut pada bulan-bulan pertama namun akan segera tumbuh perlahan-lahan dengan rambut yang lebih kuat dan kekal.

6.      Gangguan hormone setelah bersalin. Selepas seseorang wanita melahirkan anak, pusingan rambut akan memasuki fasa berehat yang agak lama. Ketika itu, fasa keguguran rambut akan terjadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Kebiasaannya ia akan pulih dalam tempoh satu hingga enam bulan.

7.      Jangkitan kulit kepala seperti kurap dapat menyerang kulit kepala.

8.      Androgenic alopecia menyebabkan kehilangan rambut seawal usia 10 tahun. Masalah ini biasanya serius dan kekal.

9.      Alopecia aerata merupakan masalah antibodi dari sistem tubuh di mana sel-sel darah putih menyerang folikel rambut yang merosakkan akar rambut. Masalah ini biasanya bersifat sementara.

10.  Rawatan yang menggunakan bahan kimia yang kuat seperti pewarna rambut, peluntur mahupun pelurus tidak terkecuali menjadi punca rambut gugur.

11.  Sebahagian rawatan kanser akan menyebabkan sel-sel rambut terhenti membahagi mengakibatkan rambut menjadi nipis dan mudah terputus apabila ia keluar dari kulit kepala.


-Wanita: Gugurnya mahkota wanita-