Monday, November 10, 2014

Menguji Tahap Gula dalam Darah



Ujian pemeriksaan glukos dalam darah adalah penting bagi pesakit diabetes. Glukos yang terhasil daripada penghadaman makanan karborhidrat, menjadi sumber utama tenaga dalam badan. Insulin yang dikeluarkan dari organ penkreas membantu tubuh menggunakan glukos ini bagi menghasilkan tenaga.

Jenis pemeriksaan glukos

Beberapa jenis pemeriksaan glukos yang dijalankan:

-Pemeriksaan glukos ketika berpuasa. Ia adalah pemeriksaan yang dijalankan apabila seseorang itu tidak mengambil apa-apa makanan sekurang-kurangnya lapan jam.
-pemeriksaan glukos dua jam selepas mula makan. Ia akan menguji keberkesanan pankreas mengeluarkan insulin bagi mengawal gula.
-pemeriksaan gula tanpa perlu berpuasa. Ia adalah uijan rawak bagi mengesan kandungan gula seseorang. Jika bacaannya terlalu tinggi, ia bermakna pesakit mungkin menghadapi masalah diabetes. Namun ia bukan ujian pengesahan untuk mendiagnosis seseorang itu mengalami diabetes.
-oral glucose tolerance test (OGTT). Ia adlah ujian pemeriksaan gula bagi membuat diagnosis diabetes kalangan wanita hamil dan orang biasa. Pesakit diminta untuk minum air gula. Pemeriksaan darah dilakukan sebelum dan selepas minum air gula.

Bacaan Normal

Bacaan glukos yang normal dalam darah ialah lebih kurang dari 5.5 mmol/L, apabila seseorang itu berpuasa dan kurang dari 7.0 jika diuji dua jam selepas makan. Selepas tiga jam, kandungan glukos akan turun kurang dari 6.0 mmol/L.
Jika bacaan glukos melebihi bacaan ini, selalunya ia akan menyebabkan komplikasi mata, buah pinggang dan jantung. Oleh itu bacaan gula yang baik harus rendah iaitu kurang 5 mmol/L sebelum makan dan kurang 6 mmol/L selepas makan.
Jadi jika anda seorang penghidap diabetes, menguji gula dalam darah adalah sebahagian pengurusan diri yang amat penting. Setiap pesakit diabetes harus mengetahui beberapa kerap dan bila ujian pemeriksaan ini harus dilakukan.

Kekerapan ujian dilakukan lebih kerap jika…

Ada masanya pesakit memerlukan pemeriksaan tahap glukos yang lebih kerap jika:
1.      Baru memulai ubat diabetes atau baru mula ditukar ubat diabetes yang berlainan jenis.
2.      Sedang menukar dos ubat.
3.      Dalam keadaan sakit contohnya demam, batuk, selesema atau ada bisul.
4.      Sedang dalam latihan fizikal atau riadah yang berat.
5.      Hamil.
6.      Sedang dalam musafir menyebabkan rutin harian bertukar.
Setiap pesakit diabetes (terutama pesakit diabetes yang berumur 30 tahun keatas) perlu mempunyai mesin glucometer bagi memudahkan mereka memeriksa sendiri kandungan glukos dalam darah mereka..

Masa yang sesuai untuk pemeriksaan glukos

Ramai pesakit diabetes yang menganggap bahawa pemeriksaan glukos harus dilakukan apabila telah puasa lebih lapan jam. Ia adalah nasihat yang benar. Namun ada beberapa waktu yang digalakkan untuk melakukan pemeriksaan glukos bagi memastikan kandungan glukos dalam darah di tahap yang normal.

Antaranya:

·        Sebelum makan
·        Dua jam selepas makan
·        Sebelum tidur
·        Sebelum, semasa dan selepas melakukan riadah
·        Sebelum mengendalikan mesin berat atau memandu dalam masa yang panjang
·        Ketika mengalami tanda-tanda hypoglycaemia (kekurangan glukos) atau hyperglycemia (lebihan glukos)



-Mingguan Wanita: Kesihatan-