Friday, November 28, 2014

Susu Ibu VS Nutrien Lain




Darah Merah Menjadi Susu Putih

Para saintis telah mencuba pelbagai kaedah untuk menghasilkan satu formula nutrisi yang menyamai susu ibu, namun sehingga kini masih belum berjaya. Ini kerana ibu menghasilkan susu yang tidak sama antara satu sama lain kerana antibody, hormone, vitamin-vitamin dan garam mineral di dalam setiap susu ibu berbeza antara satu sama lain bergantung kepada keperluan bayi tersebut.

Ajaib

Sungguh ajaib jika difikirkan tentang proses pembentukan susu. Tiada kilang di dunia ini yang mempunyai teknologi canggih yang boleh memproses darah merah serta za-zat makanan menjadi susu putih. Inilah kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Yang Maha Mencipta. Daripada darah merah yang mengalir dalam pembuluh-pembuluh darah ibu bercampur dengan zat-zat makanan dari usus, kemudian diproses di kilang yang amat kecil berupa kelenjar-kelenjar di payudara ibu, seterusnya berupaya menghasilkan satu nutrisi yang begitu hebat sekali.

Perbezaan Susu Ibu dengan Nutrien Lain

Susu lembu biasanya digunakan sebagai tambahan atau ganti kepada susu ibu. Apabila kita membandingkannya dengan susu ibu, kita akan mengetahui kelebihan susu ibu secara jelas. Berikut merupakan kelebihan susu ibu berbanding susu lembu:

1.      Antibodi

Susu ibu merupakan satu-satunya makanan yang mengandungi antibodi. Antibodi yang mengalir dalam susu ibu kepada bayi, menyediakan bayi dalam keadaan maksimum untuk melawan penyakit dan bakteria. Antibodi-antibodi ini terdapat dalam jumlah yang sangat banyak di dalam susu ibu terutamanya di dalam kolostrum yang dihasilkan selepas beberapa hari pertama kelahiran. Perlindungan yang diberikan oleh antibodi sangat penting kerana jangkitan yang sedikit sahaja boleh menyebabkan kesan yang sangat serius kerana antibodi bayi snediri masih belum mampu untuk melawan kuman-kuman yang berbahaya. Manfaat yang diterima bayi akan makin terserlah dari hari ke hari.   

2.      Kasein

Dalam susu lembu terdapat kandungan bahan yang disebut sebagai kesein yang tinggi. Kasein merupakan bahan yang dijumpai di dalam susu basi yang berketul. Bahan ini akan mengurai kepada partikel-partikel yang besar di dalam perut dan menyukarkan proses penghadaman. Ini adalah sebab kenapa susu lembu susah untuk dihadam menyebabkan ketidakselesaaan kepada bayi kerana kembung perut dan sebagainya.

3.      Kandungan Gula

Kandungan gula di dalam susu ibu juga berbeza-beza berbanding susu lembu meskipun kedua-duanya mengandungi jenis gula yang sama iaitu gula laktosa. Namun, susu ibu mengandungi gula yang jauh lebih tinggi berbanding susu lembu, iaitu sebanyak 7gm/l berbanding 4.8gm/l dalam susu lembu. Ini sangat penting kerana badan bayi yang kecil hanya mempunyai simpanan gula yang sedikir sahaja.

4.      Garam Mineral

Kandungan garam mineral juga berbeza antara kedua-dua susu tersebut. Susu lembu mengandungi kalsium dan fosforus yang tinggi, namun nisbahnya tidak stabil menyebabkan ia susah untuk dicerna dengan baik. Manakala kandungan fosforus yang tinggi boleh menghalang penyerapan kalsium dengan baik. Maka, jika bayi diberi susu lembu tanpa diberi susu ibu sebaik sahaja dilahirkan, mereka terdedah kepada risiki-risiko yang besar kerana kekurangan kalsium.

5.      Zat Besi

Susu ibu juga mengandungi zat besi yang tinggi, iaitu sebanyak 50%. Oleh kerana susu lembu mengandungi zat besi yang rendah, maka bayi akan lebih mudah menghidap penyakit anemia (kekurangan darah).

Manfaat tentang penyusuan selamadua tahun ini telah pun dinyatakan oleh al-Quran sejak 14 abad yang lepas. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua orang ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Kulah kamu kembali.” (Surah Luqman 31: 14)


-Solusi: Susu Makanan Pertama Di Dunia  (Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib)-